Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
LAMBAK KANAN, Sabtu, 18 April. - Ikebana merupakan seni tradisional Jepun dalam menggubah bunga yang menekankan keharmonian, keseimbangan dan kesederhanaan.
Ia sering menampilkan penggunaan bunga yang minimalis disertai dengan ranting dan daun, dengan memberi penekanan kepada garisan dan ruang dalam susunan berkenaan.
Sehubungan dengan itu, Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam (NBD) petang tadi menganjurkan Bengkel Ikebana (seni gubahan bunga Jepun), bertempat di Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat (Pusat L3C), Kementerian Pendidikan.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dr. Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong.
Turut hadir, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke NBD, Tuan Yang Terutama Kikuta Yutaka.
Seramai 40 peserta telah mempelajari dan mengalami sendiri seni gubahan bunga daripada seorang pengajar Ikebana Sogetsu yang bertauliah dari Jepun.
Bengkel berkenaan dikendalikan oleh Taniguchi Chieko, yang memulakan pengajian dalam Ikebana Sogetsu pada 1984 dan sejak itu telah menumpukan dirinya untuk memperhalusi teknik serta kepekaan artistiknya.
Beliau juga telah menyumbang kepada pendidikan generasi muda dengan mengajar Ikebana di sebuah sekolah profesional yang mengkhususkan dalam bidang perniagaan bunga serta mengajar kelas diplomat di Kementerian Luar Negeri Jepun.
Selain daripada kerjayanya di Jepun, Taniguchi Chieko turut terlibat dalam demonstrasi dan aktiviti pengajaran di peringkat antarabangsa seperti di Shanghai dan Beijing, Republik Rakyat China, dengan berkongsi keindahan serta falsafah Ikebana.